Tuesday, March 23, 2010

Hang Jebat

Aku baru je lepas tengok cite Hang Tuah kat TV2. Tiba2 rasa terharu lak lihat pengorbanan Hang Jebat untuk menuntut bela di atas kematian sahabatnya Hang Tuah. Hang Jebat sanggup mati di tangan sahabatnya sendiri. Aku pun tak faham dengan si Tuah ni, terlampau taat kepada raja sampai sanggup membunuh sahabatnya sendiri. Aku rasa ini disebabkan oleh kepercayaan ataupun fahaman yang dipegang oleh si Tuah yang mana dia anggap 'Pantang orang Melayu menderhaka'.

Aku tak dapat fikirkan reason yang lebih baik untuk Tuah sentiasa taat kepada Raja. Nak katakan Raja tu berdaulat..dia kan ada Taming Sari. So, nak takut apa? Aku tau Raja dulu-dulu memang berdaulat. Tetapi daulatnya itu adalah disebabkan oleh 'peliharaannya'. Bukannya dia berdaulat kerana dia seorang yang suci ataupun anak tuhan. Raja pun manusia biasa macam kita gak. Cuma mungkin fahaman animisme dan fahaman agama Hindu masih menular lagi di dalam diri masyarakat zaman dahulu. Sebab tu raja dianggap sebagai seseorang yang tidak boleh disentuh dan berkuasa penuh. Dan oleh sebab itulah raja-raja ini menggunakan kuasa pemerintahan yang ada padanya dengan sewenang-wenangnya. Tapi kan, kalau raja tu berdaulat, kenapa nak takut bila Jebat mengamuk dalam istana. Tak payah lari pun takpe. Jebat bukan boleh buat apa-apa pun kalau raja tu betul-betul 'berdaulat'.

Seiring dengan perubahan zaman, pemikiran manusia turut berubah. Pada hari ini Raja-raja tidak lagi dianggap sebagai seorang yang suci dan tidak boleh disentuh. Raja pun boleh kena saman dan boleh diambil tindakan mahkamah. Malah Raja hari ini juga menggunakan mahkamah untuk membersihkan arang yang telah diconteng di muka mereka. Namun apa yang aku ingin perkatakan di sini bukanlah perihal raja melainkan perihal Hang Jebat sebagai pembela kebenaran. Kalau suatu masa dahulu, masyarakat melabelkan Hang Jebat sebagai penderhaka, masyarakat sekarang melabelkan Hang Jebat sebagai wira. Kalau suatu masa dahulu masyarakat melabelkan Hang Tuah sebagai Wira, masyarakat hari ini tidak lagi melabelkannya demikian. Zaman berubah dan pemikiran manusia turut berubah.

Seperti kata Adi Putra, 'Gunakan ilmu itu sebagai pembela keadilan dan penegak kebenaran.' Jebat telah mengaplikasikan apa yang telah dipelajarinya di Gunung Ledang itu dengan baik.

'Kalau suatu masa nanti orang bertanyakan kenapa Jebat menderhaka, pasti orang akan menjawab kerana rajanya yang tidak adil.'

'Patah sayap bertongkat paruh, namun gunung kudaki, kudaki juga.'

Di manakah kita boleh mencari orang seperti ini. Yang sanggup menuntut bela di atas kematian kawannya secara tidak adil. Yang sanggup menentang raja semata-mata kerana inginkan keadilan. Yang sanggup dicaci oleh sejarah ratusan tahun sebelum sejarah mengiktirafnya sebagai wira. Yang sanggup mati kerana mempertahan pendirian. Yang sanggup memberikan kerisnya sendiri kepada kawan yang dibelanya supaya dengan keris itu dapatlah dibunuh dirinya sendiri.

Aku betul-betul kagum dengan Jebat.


No comments:

Post a Comment