Semalam 31 hb Ogos 2009, hari Kemerdekaan negara Malaysia yang ke-52. Sambutan memang cukup meriah. Di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth, Pulau Pinang, deretan kereta tersadai di jalanan semata-mata untuk menyaksikan pertunjukan bunga api yang diadakan di bahagian Pulau pada detik 12.00 pagi 31 Ogos 2009.
Apa yang membimbangkan ialah melihat anak muda Malaysia terutamanya anak gadis yang beragama Islam berpeleseran di waktu malam. Pada detik-detik seperti inilah 'satu sejarah' boleh tercipta. Dengan hanya berbekalkan alasan ingin merayakan detik kemerdekaan negara, maka maruah dan harga diri yang dipertahankan selama ini boleh dipertikaikan. Semoga Allah melindungi diri kita semua dari perkara yang tidak diingini. AMIN.
Apa itu merdeka? Apakah maksud kemerdekaan yang sebenar? Menurut As-Syahid Syed Qutb, di dalam bukunya yang bertajuk Petunjuk Sepanjang Jalan kemerdekaan yang sebenar ialah memerdekakan diri dari sebarang bentuk perhambaan melainkan perhambaan kepada Allah semata-mata. Memerdekakan diri dari sebarang perhambaan seperti pangkat, harta benda, wang ringgit, berhala dan sebagainya. Berhala di sini bukanlah hanya bermaksud patung-patung yang disembah tetapi berhala juga membawa maksud segala apa yang disembah melainkan Allah SWT. Ini termasuklah pangkat darjat, wang ringgit dan sebagainya.
Sekiranya kita berjaya memerdekakan diri kita dari ini semua, maka itulah erti kemerdekaan yang sebenar. Selamat menyambut hari kemerdekaan negara dan berjuanglah untuk mencapai erti kemerdekaan yang sebenar.
No comments:
Post a Comment