Artikel ni aku tulis dalam blog lama aku. Malangnya aku tak dapat nak log in ke blog lama aku sebab aku terlupa email dan password apa yang aku gunakan. Namun aku nak berkongsi pandanganku dengan semua sempena memperingati keruntuhan World Trade Centre lapan tahun yang lepas.
- Melihat kepada tarikh hari ini, terkenang kepada peristiwa yang berlaku beberapa tahun yang lalu. Bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) telah jatuh ranap menyembah bumi hanya disebabkan dua buah kapal terbang penumpang yang tidak dapat dikesan oleh radar Amerika yang kononnya tercanggih di dunia. Bangunan yang menjadi kebanggaan para kapitalis dunia itu, hancur dimamah api.
- Masyarakat dunia terkejut dengan peristiwa ini dan rata-rata melahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap apa yang berlaku. Orang Islam adalah tidak terkecuali.
- Pertuduhan dibuat tidak beberapa lama selepas itu bahawa orang yang bertanggungjawab terhadap serangan itu ialah Osama bin Laden. Dan negara di mana Osama bin Laden ini bersembunyi harus diserang dengan sepenuhnya. Adalah sesuatu yang pelik bagaimana satu negara yang mundur dan miskin boleh merancang satu rancangan yang sedemikian kompleks sehinggakan ia tidak dapat dikesan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang diwarwarkan begitu hebat di seluruh dunia.
- Afghanistan diserang dan sejurus selepas itu Iraq pula diserang dengan alasan bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Kerajaan Amerika Syarikat khususnya dibantu oleh para bonekanya iaitu Britain dan Australia telah menggunakan istilah 'War Againts Terrorism' untuk menghalalkan tindakan mereka. Mereka juga menggunakan alasan bahawa mereka datang dengan membawa 'Keamanan'. Namun apa yang mereka bawa ke negara Afghanistan dan Iraq bukanlah van-van ambulans,ubat-ubatan mahupun makanan tetapi mereka membawa kereta-kereta kebal dan senjata-senjata perang untuk diuji kehebatannya di negara itu.
- Sehingga ke saat ini, kesengsaraan yang dialami oleh rakyat kedua-dua negara tersebut masih belum berakhir. Adalah dipercayai bahawa kesengsaraan yang dialami mereka adalah lebih teruk daripada kesengsaraan yang dialami sewaktu zaman pemerintahan Taliban dan Saddam Hussein. Pembunuhan, rogol, penindasan, pencabulan hak-hak asasi manusia begitu berleluasa di sana. Lihat sahaja gambar-gambar yang dikeluarkan suatu masa dahulu di mana manusia diperlakukan seperti anjing.
- Dunia mengutuk keras serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia. Namun dunia tidak berani bersuara apabila Afghanistan dan Iraq diserang. Adilkah dunia ini??? Selaku manusia, kita merasa sedih atas apa yang berlaku ke atas WTC. Tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menyerang dan menakluk negara lain atas apa-apa nama sekalipun.
- Kerana itulah Tun Dr. Mahathir Mohamed telah mencadangkan agar Bush, Blair dan Howard ini dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana tindakan tanpa menggunakan otak ini telah membawa keburukan kepada dunia. Beliau juga mencadangkan agar mereka ini dipanggil 'Penjenayah Perang' untuk mengiktiraf mereka atas usaha mereka mewujudkan perang di atas dunia ini. Dunia hidup dalam ketakutan sehinggakan kita takut kepada kasut yang dipakai oleh seorang manusia.
- Penjenayah perang perlu dihukum kerana mereka inilah pengancam keamanan dunia yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment